Pembukaan Sekolah

Pembukaan Sekolah Pada Tahun 2004

SM Teknik Jengka mula dibuka untuk sesi persekolahan tahun 2004. Pada peringkat awal pembukaannya, pentadbiran sekolah ini beroperasi dengan menumpang di pejabat-tapak juru perunding. SM Teknik Jengka telah didaftarkan di Jabatan Pelajaran Negeri Pahang dengan kod CKA 9001, manakala kod PTJ sekolah ini ialah 250291.

Sekolah ini merupakan sebuah sekolah berasrama harian, dan berada di bawah pentadbiran Bahagian Pengurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPPTV), Jabatan Pendidikan Teknikal, Kementerian Pelajaran Malaysia. SM Teknik Jengka adalah sekolah menengah teknik yang ke-89 di negara ini. Kewujudan sekolah ini telah dapat memberi peluang pendidikan teknik kepada anak-anak warga peneroka Jengka khususnya dan penduduk daerah Maran amnya.

SM Teknik Jengka merupakan sekolah menengah aliran teknik tulen yang kedua dari kalangan 10 buah sekolah menengah teknik yang wujud di Negeri Pahang Darul Makmur. Sekolah ini menawarkan kesemua tujuh jurusan teknik yang terdapat dalam sistem pendidikan teknik, Jabatan Pendidikan Teknikal, Kementerian Pelajaran Malaysia. Tujuh jurusan tersebut adalah Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pengajian Agroteknologi, Perdagangan, Pengajian Pakaian dan Pengurusan Makanan.

Secara rasminya penempatan guru mula dibuat pada 1 Januari 2004. Pada 2 Januari 2004, seramai 21 orang guru melapor diri di sekolah ini. Bagi melengkapkan pentadbiran sekolah, pada 8 Januari 2004, Encik Ishak bin Sulaiman melapor diri untuk menjalankan tugas rasmi sebagai Pengetua pertama di SM Teknik Jengka.

Tugas Pengetua dibantu oleh Penolong Kanan 1, Encik Mohd Yusof bin Ayob, Penolong Kanan HEM, Encik Wan Hanafi bin Wan Musa dan Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Abdul Rusuwan bin Rozali. Mereka berganding bahu memikul amanah mentadbir sekolah dan mendapat sokongan padu guru dan kakitangan sokongan dalam usaha membina kecemerlangan pendidikan di sekolah yang baru ini.

Pada 19 Januari 2004, dua orang Juruteknik telah melapor diri. Dua orang Pembantu Tadbir, seorang Pemandu dan dua orang Pembantu Am Rendah melapor diri kemudiannya. Sehingga ke penghujung tahun 2004, seramai 39 orang guru terlatih dan tujuh orang kakitangan sokongan telah ditempatkan di sekolah ini.

Pada 18 Mac 2004, Pengarah BPPTV, Tuan Haji Abdul Adzis bin Abas, telah mengadakan lawatan ke SM Teknik Jengka. Beliau meninjau prasarana dan persediaan sekolah yang bakal menerima kemasukan pelajar perintis pada 29 Mac 2004. Beliau telah memberikan beberapa panduan dan nasihat berhubung pembukaan sekolah baru.

Sebagai persediaan pihak sekolah, beberapa siri aktiviti gotong-royong telah diadakan, untuk menyusun peralatan dan kelengkapan sekolah, bilik darjah dan juga asrama. Satu majlis Solat Hajat dan bacaan Yasin diadakan pada 25 Mac 2004 selepas solat Maghrib, bertempat di Pusat Pelajar Islam. Para jamaah terdiri daripada guru dan kakitangan sekolah. Majlis dipimpin oleh imam Masjid Bandar Jengka.
Bagi tahun 2004, pengambilan pelajar ke sekolah menengah teknik diadakan pada 9 Februari. Oleh kerana bangunan dan kemudahan sekolah ini belum siap, pengambilan pelajar SM Teknik Jengka ditangguhkan kepada 29 Mac 2004.

Hari pertama pendaftaran pelajar pada 29 Mac 2004 menyaksikan seramai 287 orang pelajar mendaftar. Sepuluh kelas telah dibuka mengikut jurusan, iaitu masing-masing dua kelas bagi PKA, PKM dan PKEE, dan satu kelas masing-masing bagi Perdagangan, Pengajian Agroteknologi, Pengajian Pakaian dan Pengurusan Makanan. Pelajar sekolah ini sebahagian besarnya datang dari sekolah menengah di sekitar wilayah Jengka.

Encik Mohd Noor bin Abd. Aziz dan Encik Amiruddin bin Ayob, pegawai dari Unit Hal Ehwal Murid, BPPTV turut hadir dalam majlis taklimat ibu bapa sempena majlis pendaftaran pelajar. Encik Othman bin Md. Yusof, Pegawai Pelajaran Daerah Maran, telah hadir untuk merasmikan Minggu Silaturrahim pelajar baru yang diadakan mulai 29 Mac hingga 31 Mac 2004. Majlis pendaftaran pelajar dibuat sekali lagi pada 12 April 2004, dan ini menjadikan bilangan pelajar berjumlah 324 orang,

Perhimpunan rasmi sekolah yang pertama telah diadakan pada 1 April 2004. Dengan ini, bermulalah SM Teknik Jengka beroperasi sebagai sebuah sekolah. Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah diadakan buat pertama kalinya pada 28 Mei 2004.

Pada tanggal 7 Jun 2004, warga SM Teknik Jengka berasa bertuah kerana menerima kunjungan Y.Bhg. Dato’ Dr. Haji Ahamad bin Sipon, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Teknikal), KPM (sekarang, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia). Beliau telah memberikan beberapa saranan dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Sebagai tanda muafakat ibu bapa dengan pihak sekolah, Mesyuarat Agung penubuhan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) telah dapat diadakan pada 18 Julai 2004. Mesyuarat dirasmikan oleh Encik Othman bin Md. Yusof, Pegawai Pelajaran Daerah Maran. Encik Yaakob bin Hashim telah dipilih sebagai Yang Dipertua PIBG SM Teknik Jengka yang pertama. Majlis Laporan Adab Belajar juga telah dapat diadakan pada hari yang sama. Sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan pada 24 Julai, manakala sambutan Hari Patriotik dan Pelancaran Tabung Rayuan Hari Pahlawan diadakan pada 2 Ogos 2004.

Pada 27 September 2004, program perkembangan staf berhubung pengurusan disiplin pelajar telah diadakan. Majlis taklimat dan dialog tersebut dikendalikan oleh Encik Mohd Shari bin Pilus, Penyelia Disiplin dan Kaunseling, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang. Pada 30 September 2004, Mesyuarat Agung Koperasi SM Teknik Jengka Maran Pahang Berhad yang pertama telah diadakan. Karnival Permainan sekolah ini telah diadakan buat pertama kalinya pada 1 Oktober 2004.

Dalam bulan Ramadhan 1425H (Oktober – November 2004), JK Pusat Pelajar Islam telah dapat mengadakan beberapa program bina insan, diantaranya, majlis pelancaran program tahsinul Quran (jQAF), sambutan Nuzul Quran, solat tarawih, tazkirah, tadarrus al Quran dan majlis Khatam Quran.

Pengurusan sekolah bertambah mantap dalam tahun kedua operasinya pada tahun 2005. Sekolah telah memperkenalkan logo dan moto sekolah yang berciri kontemporari. Visi dan misi sekolah telah diwartakan untuk menjadi pegangan setiap warga sekolah.
Pada tahun 2005, seramai 24 orang guru lagi ditempatkan bertugas di sekolah ini, menjadikan jumlah guru terlatih seramai 63 orang. Walaupun begitu, dua orang guru telah meletakkan jawatan. Ketua Pembantu Tadbir dan dua orang pembantu makmal telah melapor diri, menjadikan bilangan kakitangan sokongan seramai 10 orang.
Dengan pengambilan pelajar (Tingkatan 4) bagi tahun persekolahan 2005, bilangan pelajar telah bertambah kepada 746 orang (410 orang lelaki, 336 orang perempuan). Bilangan kelas adalah sebanyak 25 kelas. Seramai 715 orang (99 peratus) pelajar tinggal di asrama.
Pelajar-pelajar perintis SM Teknik Jengka seramai 336 orang telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang pertama bagi sekolah ini pada tahun 2005.

Pada masa kini, SM Teknik Jengka dilihat oleh banyak pihak sebagai sebuah sekolah yang berpotensi untuk menjadi sekolah yang cemerlang dalam kurikulum, kokurikulum dan pembinaan sahsiah pelajar. Harapan ini menuntut usaha gigih dan komitmen yang berterusan dari segenap lapisan warga sekolah; pentadbir, guru, kakitangan sokongan, para pelajar dan juga ibu bapa.

No comments: