Sejarah Sekolah

SEKOLAH MENENGAH TEKNIK JENGKA 26400 BANDAR JENGKA
PAHANG DARUL MAKMUR


SM Teknik Jengka terletak di sebuah kawasan kaki bukit yang dikenali sebagai Bukit Gajah, Mukim Chenor, Daerah Maran, Pahang Darul Makmur. Keseluruhan kawasannya adalah seluas 40.06 ekar (16.21 hektar). Di hadapan kawasan sekolah ini terdapat ladang sawit Felda Jengka 15, dan di belakangnya adalah Sungai Jengka, bersempadanan dengan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang. Kedudukannya adalah kira-kira 7 km dari Bandar Jengka dan 46 km dari Bandar Maran.

Pembinaan sekolah ini telah dimulakan pada 19 Jun 2001 dan mengikut perancangan awalnya siap pada 18 Februari 2003. Walaupun begitu, pembinaan sekolah ini hanya dapat disiapkan pada awal tahun 2004 dan memperolehi ‘CPC’ pada 16 Jun 2004. Projek sekolah ini menelan belanja melebihi RM32 juta, dibiayai melalui Pinjaman ADB 5, Bank Pembangunan Asia (ADB).

Senibina kompleks dan bangunan sekolah adalah hasil kreativiti satu kumpulan firma perunding yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Syarikat perunding senibina, Kamal Abdullah Chartered Architect, Shah Alam, telah memberi sentuhan dengan ciri-ciri senibina yang menarik pada bangunan sekolah ini. Kontraktor pembinaan sekolah ini diterajui oleh Pembinaan Limbongan Setia Berhad, Batu Caves, Selangor.

Senibina Blok Pentadbiran/Dewan Serbaguna seumpama bahtera yang berada di tengah samudera luas. Terdapat tiga padang permainan yang kesemuanya terletak di bahagian hadapan kompleks sekolah. 44.81% kawasan sekolah ini merupakan kawasan lapang. Terdapat sebuah menara jam yang juga merupakan ciri unik bagi sekolah ini.

Infrastruktur - Kompleks SM Teknik Jengka merupakan satu kompleks pendidikan yang dilengkapi dengan segala kemudahan asas. Ianya terdiri daripada enam kelompok blok bangunan utama, iaitu Blok Belajar (Bilik Darjah/Makmal Komputer/Pusat Sumber Sekolah), Blok Bengkel dan Makmal Sains, Blok Pentadbiran/Dewan Serbaguna, Pusat Pelajar Islam, Blok Asrama dan Kuarters Guru/Kakitangan Sokongan, serta padang dan gelanggang permainan.
Blok Bengkel/Makmal menempatkan sembilan buah makmal sains (Fizik, Kimia dan Biologi) dan bengkel-bengkel bagi setiap mata pelajaran elektif teknik (PKA/PKM/PKEE/PKU/PAG/PP/PPM/LK). Blok Belajar menempatkan 34 buah bilik darjah, dua buah bilik kuliah, bilik multimedia/AV, bilik kokurikulum, Pusat Sumber Sekolah dan empat buah makmal komputer.

Terdapat lima blok tiga tingkat Asrama Putera dan Puteri, beserta dengan dewan makan dan kemudahan lain yang dapat memberikan keselesaan kepada penghuninya.
Untuk kemudahan sukan dan riadah, terdapat gelanggang-gelanggang untuk permainan bola tampar (2 buah), sepak takraw (4 buah), tenis (3 buah), bola keranjang (2 buah), bola jaring (2 buah) dan badminton (4 buah), serta tiga buah padang permainan (bola sepak, ragbi dan hoki).

Sekolah ini dibina dengan kapasiti pelajar seramai 1260 orang pelajar dan kapasiti asrama seramai 840 orang.





1 comment:

myzura said...

mohon komen dari pandangan blog sahaja....